KAJANG – Hari bersama pelanggan Kajang Plaza Medical Centre (KPMC) yang berlangsung pada hari ini dilihat telah mencapai objektifnya dalam merapatkan hubungan komuniti di sini, bersama warga KPMC.

Menurut Nurul Nadhirah Zainudin,
Penolong Pengurus Pemasaran & Komunikasi KPMC, program tesebut diadakan sempena sambutan Hari Kanak-kanak sedunia yang jatuh pada 20 November lalu.

Katanya, dengan kerjasama Tadika Perpaduan Jalan Timur Kajang dan Perpustakaan Negeri Selangor, program tersebut menerima sambutan yang memberangsangkan dengan kehadiran lebih 80 peserta terdiri daripada Alumni KPMC (kanak-kanak yang dilahirkan di KPMC) serta orang awam.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif KPMC, Datuk Saroni Judi, menasihatkan kepada ibu-bapa di luar sana untuk sentiasa bertanggungjawab dalam mendewasakan anak-anak mereka khususnya dalam penjagaan aspek jasmani dan rohani.

“Kepada ibu bapa, saya selalu berpesan kita ada satu tanggungjawab untuk mendewasakan mereka (kanak-kanak) dan kita sememangnya tahu anak-anak banyak kerenah.

“Oleh sebab itu, bila ada kecemasan pada waktu yang kita sedang tidur atau pada waktu malam boleh datang ke sini (KPMC) kerana kita mempunyai pakar yang mempunyai pengalaman yang luas dalam kes trauma dan kecemasan,” katanya sebelum merasmikan Hari bersama pelanggan KPMC di sini, hari ini.

Selain itu, menurut salah seorang ibu kepada dua peserta kanak-kanak, Haidatul Atikah Hashim, program yang diadakan pada hari ini sedikit sebanyak telah membuka peluang buatnya untuk berinteraksi bersama kanak-kanak serta kakitangan KPMC.

Haidatul, 31, yang sebelum ini pernah mendapatkan vaksin Covid-19 di KPMC, turut berharap agar program sebegini dapat diadakan dengan lebih kerap pada masa akan datang.

“Acara hari ini berjalan dengan lancar dan anak-anak pun seronok dapat bermain pelbagai aktiviti. Persekitaran Hospital ini pun selesa nampak bersih dan cantik. Insya-Allah jika diberi kesempatan pada masa akan datang saya akan dapatkan rawatan di sini,” katanya.

Sebagai rekod, antara aktiviti menarik yang diadakan pada Hari bersama pelanggan KPMC termasuk pertandingan mewarna, pakaian beragam, ceramah kesihatan serta pemeriksaan kesihatan dengan kadar bayaran serendah RM20.

Sumber dari : Malaysia Tribune